Penyelidikan kayu Sesenduk

View previous topic View next topic Go down

Penyelidikan kayu Sesenduk

Post by sindak on Thu Sep 10, 2009 6:49 am

PENGELUARAN kayu dari hutan asli terus berkurangan jika dibandingkan
dengan keperluan negara.Dengan pergantungan berterusan kepada hutan
asli sebagai sumber, lama-kelamaan ia akan kehabisan.
Justeru, satu langkah alternatif perlu diambil bagi mengurangkan
pergantungan tersebut bagi mengekalkan kelestarian pengeluaran kayu
hutan pada masa akan datang.


Ini kerana lama-kelamaan industri perkayuan menghadapi masalah
kekurangan sumber dan satu daripada caranya ialah menubuhkan ladang
hutan komersial.
Justeru, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi telah
melaksanakan Program Ladang Hutan Komersial bagi menangani masalah
kekurangan kayu kayan untuk pelbagai industri berkaitan seperti kayu
gergaji, perabut dan industri hiliran lain.


Bagi mencapai matlamat tersebut, Institut Penyelidikan Perhutanan
Malaysia (FRIM) telah menjalankan penyelidikan bagi menghasilkan baka
pokok-pokok hutan yang terpilih untuk kegunaan industri perkayuan.
Menerusi program perladangan tersebut, klon pokok dihasilkan dari
baka pokok induk terpilih untuk ditawarkan kepada mereka yang berminat
untuk melabur dalam bidang ini.
Ia bertujuan untuk meneruskan perkembangan dan sumbangan sektor ini dalam industri negara.
Penyelidikan selama beberapa tahun yang dijalankan sejak 1989
akhirnya berjaya menghasilkan klon balak FRIMsrp 001 dari spesies
Endorspermum malaccense atau nama tempatannya sesenduk.
Ia merupakan satu klon baru yang dihasilkan untuk menampung
keperluan kepada kayu getah dalam industri perabot yang juga kian
merosot bekalannya.
Klon ini dijangkakan mampu menjadi sumber alternatif memandangkan
kualiti kayunya yang baik dan pertumbuhannya yang cepat dan boleh
ditebang pada usia 10 tahun selepas ditanam selain dari warnanya yang
sesuai dan berkualiti untuk industri perabot.


Ia juga boleh ditanam dalam keadaan yang terbuka.
Selain itu, spesies ini juga sesuai untuk dijadikan papan lukisan,
dulang, papan lapis, terompah kayu dan juga penyepit pakai buang.
Menurut Pegawai Penyelidik Cawangan Membaikbiak Pokok FRIM, Dr.
Mohd. Noor Mahat, klon tersebut dihasilkan daripada pemilihan dari anak
pokok induk terpilih.
‘‘Ini bukan kajian pada masa ini (baru) tetapi telah dimulakan sejak
tahun 1989 oleh penyelidik awal di FRIM iaitu Dr. Ab. Rasip Ab. Ghani.
‘‘Saya hanya meneruskan usaha awal beliau dan orang akan datang juga
akan menyambung tanggungjawab ini untuk negara” katanya ketika di temui
baru-baru ini.
Pokok tersebut kata beliau, biasanya terdapat di kawasan hutan
sekunder tanah rendah sehingga pada paras ketinggian 1,000 meter di
Semenanjung Malaysia.
Spesies pokok tersebut diklasifikasikan sebagai kayu keras ringan
dengan julat ketumpatan dari 300 kilogram (kg) meter padu hingga 600 kg
meter padu.
Klon pokok ini dihasilkan daripada baka yang diambil dari Hutan
Simpan Ulu Tranum Bentong, Pahang. Benihnya dibiakkan di nurseri FRIM
dan anak yang dihasilkan dinilai bagi melalui proses pemilihan.


Anak tunggal dipilih dan ditanam dan biakkan di FRIM untuk kajian
pengklonan menggunakan teknik pembiakan (propagation) mikro dan makro.
Pucuk yang muncul daripada anak progeni ini dikultur di makmal
menggunakan kaedah kultur tisu untuk menggandakan bilangannya.
Anak klon itu dibiakkan di beberapa jenis tanah berasingan dengan keadaan yang berbeza.


Berdasarkan kepada hasil ujian, menunjukkan bahawa klon berkenaan
tumbuh dengan pantas dan mampu mencapai diameter sekurang-kurangnya 30
sm dan ketinggian 24 meter dalam tempoh 10 tahun sekiranya diurus
dengan baik.
Selepas kajian, selama beberapa tahun itu, FRM telah menebang pokok untuk ujian sama ada ia merupakan kayu yang berkualiti.
Kayu yang dihasilkan kekuningan dan beberapa ciri lain hampir menyamai sumber balak di hutan asli.


Malah, kerusi untuk set meja makan telah pun dihasilkan dari kayu sesenduk klon ini.
Kini terbukti, bahawa hasil tungkus lumus FRIM menunjukkan bahawa
kajian sejak 12 tahun itu mampu menghasilkan klon balak yang berpotensi
untuk perladangan hutan.
Bagaimanapun, masih terdapat beberapa aspek yang perlu diperbaiki dan dinilai semua untuk meningkatkan mutu kayu.
Klon-klon baru juga perlu dihasilkan lagi bagi bagi menambahkan variasi dan bilangan baka yang digunakan.


Apa yang pasti, ia membuktikan bahawa klon tersebut berpotensi untuk
dimajukan dalam program perladangan hutan untuk industri kayu bagi
menampung kekurangan kayu getah dalam industri perabot.
sumber:utusan malaysia, frim

sindak
Linsou
Linsou

Female
Number of posts: 6
Active Level:
0 / 1000 / 100


Back to top Go down

View previous topic View next topic Back to top


Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum